Tadi dalam kelas (sekolah ganti Tahun Baru Cina) bincang dengan pelajar 3 Amanah tentang KKG 2011. Ada 14 orang pelajar yang tidak hadir, jadi bagi pelajar yang tidak dapat mendengar penerangan itu, boleh la baca posting ini. Pelajar yang hadir pula, tadi cikgu hanya terangkan hingga aspek 5. Disini ada penerangan lanjut tentang aspek seterusnya..
Aspek 4
Pendahuluan
· Pelajar perlu menyatakan tajuk kajian mereka sepertimana dalam aspek 1.
· Pelajar juga perlu menyatakan kenapa mereka memilih kawasan kajian tersebut. Antara lain sebabnya kerana:-
i) Kawasan tersebut menepati kriteria kajian (kerana terdapat masalah pencemaran di sana)
ii) Kawasan tersebut dekat dengan sekolah atau rumah pelajar dan memudahkan pelajar membuat kajian
· Pelajar juga perlu menyatakan berapa lama tempoh yang mereka ambil untuk menyiapkan kajian tersebut. Sebagai contoh :
DALAM MELAKSANAKAN KKG 2011 INI,SAYA TELAH MEMILIH LOKASI KAJIAN DI PEKAN KOTA BELUD,KOTA BELUD SABAH. KAWASAN INI DIPILIH KERANA MENEPATI KRITERIA KAJIAN MEMANDANGKAN TERDAPAT PELBAGAI JENIS PENCEMARAN DI KAWASAN TERSEBUT. SELAIN ITU, KAWASAN INI JUGA DEKAT DENGAN RUMAH SAYA DAN MEMUDAHKAN SAYA UNTUK BERULANG ALIK UNTUK MEMBUAT KAJIAN. SAYA MENGAMBIL MASA SELAMA DUA BULAN UNTUK MENYIAPKAN FOLIO INI IAITU BERMULA BULAN FEBRUARI SEHINGGA BULAN APRIL.
(JANGAN COPY PASTE AYAT INI.SILA BINA AYAT SENDIRI)
Aspek 5
Objektif Kajian
· Bahagian ini paling mudah kerana pelajar hanya perlu memasukkan KATA KERJA sahaja dalam senarai yang disediakan dalam markah penskoran yang diberikan kepada pelajar. Apa itu KATA KERJA? Sudah belajar dalam subjek Bahasa Melayu kan? Buka semula kitab atau tanya dengan guru Bahasa Melayu anda. Cikgu bagi contoh untuk objektif yang terakhir, dalam markah penskoran diberikan :-
Penerapan nilai atau unsur patriotisme dalam dapatan kajian.
Oleh itu, pelajar perlu menukar ayatnya menjadi:-
MENERAPKAN nilai atau unsur patriotisme dalam dapatan kajian
Aspek 6
Kawasan Kajian
· Aspek ini memberikan 8 markah penuh sekiranya pelajar menepati apa yang diminta dalam markah penskoran. Bagi mendapat markah penuh untuk kawasan kajian, pelajar perlu menghuraikan 3 aspek atau lebih. Apa aspek yang perlu dihuraikan? Semuanya sudah ada dalam markah penskoran itu. Hanya tinggal bina ayat sahaja berdasarkan maklumat yang dikumpul. Contohnya:-
Kawasan kajian saya ialah Pekan Kota Belud,Kota Belud Sabah (pelajar menyatakan kawasan kajian) Kawasan ini terletak di antara perjalanan antara Kudat dan Kota Kinabalu (mengikut jalan lama) (pelajar menyatakan lokasi kajian. Jarak kawasan ini dari Bandaraya Kota KInabalu ialah 1 jam (ini adalah jarak relatif yang pernah anda pelajari dalam tingkatan 1) (pelajar menyatakan jarak kawasan kajian). Pekan Kota Belud meempunyai bentuk muka bumi yang bla bla bla…..(pelajar menyatakan pandang darat fizikal kawasan kajian) Dengan adanya semua perkara ini,pelajar boleh mendapat 2 markah.
· Tadi cikgu cakap ada 8 markah penuh kan? Mana lagi 6 markah?.
· Bagi pelajar yang menyertakan peta daerah yang lengkap dengan:-
i) tajuk dan bingkai
ii) nama kawasan kajian dan arah mata angin
maka pelajar layak mendapat 2 markah penuh
· Mana lagi 4 markah? Ingat lagi semasa tingkatan 1, pelajar telah diajar membuat peta lakar menggunakan simbol standard peta Geografi? Di sinilah pelajar mempraktikkan kemahiran Geografi tersebut kerana pelajar perlu melakar peta kawasan kajian yang lengkap dengan:-
i) Tajuk dan bingkai (1 markah)
ii) Petunjuk dan arah mata angin (1 markah)
iii) Simbol Piawai (1 markah)
iv) peta kemas dan sempurna (1 markah)
· Jumlah keseluruhan markah untuk aspek ini ialah 8 markah.
Aspek 7
Kaedah Kajian
· Masih lagi berkaitan dengan kemahiran Geografi tingkatan 1, kaedah mengumpul maklumat dalam tajuk Graf. Pelajar sudah diterangkan cara mengumpul maklumat. Dalam kajian ini juga,pelajar perlu menghuraikan bagaimana mereka mendapatkan maklumat untuk kajian ini? Mustahil maklumat datang bergolek kepada pelajar (kalau ada macam ini kan bagus.tidaklah Eric dan kawan-kawannya pening kepala mahu buat KKG, hahaha…)
· Pelajar perlu pastikan bahagian dapatan kajian dan rujukan nanti selari dengan kaedah kajian yang mereka gunakan. Apa maksudnya? Contohnya sekiranya pelajar menggunakan kaedah temu bual,pastikan pelajar menyatakan apakah hasil temu bual tersebut di bahagian dapatan kajian. Contohnya, Encik Hariri iaitu pemilik premis perniagaan di kawasan kajian menyatakan ekoran daripada pencemaran udara di kawasan kajian, beliau sering mengalami masalah sesak nafas dan sakit tekak (ini boleh dimasukkan di dalam kesan pencemaran udara aspek 8.4 dalam dapatan kajian). Memandangkan nama beliau sudah dinyatakan, maka dalam rujukan nanti pelajar perlulah menulis namanya dibawah orang sumber.Format penulisan rujukan akan diterangkan dalam entri seterusnya.
· Diharapkan para pelajar dapat memahami perkaitan antara KAEDAH, DAPATAN KAJIAN DAN RUJUKAN
· Perlu diingatkan sekiranya pelajar menggunakan kaedah temu bual, mereka perlu menemubual sekurang-kurangnya 3 orang responden. Untuk soal selidik pula, mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya 20 borang soal selidik untuk diisikan oleh responden.
Ok rasanya cukup untuk hari ini. Kita sambung lagi kemudian. Sebelum itu, cikgu mahu ingatkan pelajar agar jangan bertangguh dalam membuat apa-apa pekerjaan. Ingat ! jangan tangguh sehingga esok apa yang kita mampu lakukan hari ini.
p/s dari tingkap, nampak pelajar asrama (elccey,lok, mami dan kwn2 main bola tampar).Bila la dapat bersenam ni. Minggu depan sudah bermula kelas tambahan setiap hari Selasa. Jangan pura-pura lupa (pesanan khas untuk ikan kuruk)